Kuala Terengganu: KDYMM Sultan dan Sultanah Terengganu diiringi oleh DYTM Raja Muda Terengganu, YAM Tengku Puteri Daulath Raja telah berkenan menyaksikan Persembahan TATU Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tahun 2023 bersempena dengan Sambutan 25 Tahun (Jubli Perak) Pemerintahan KDYMM Sultan Terengganu yang berlangsung pada 6 Okt 23 bermula jam 2030 bertempat di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Turut hadir bersama memeriahkan lagi persembahan ini adalah Menteri Besar Terengganu, Panglima Tentera Darat Ke 30, Ketua Staf Tentera Darat, Panglima 2 Divisyen, Panglima 10 Bgd Para, pegawai-pegawai kanan Tentera Darat serta pegawai-pegawai agensi Kerajaan yang lain.
Rakyat Terengganu membanjiri perkarangan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan tidak melepaskan peluang untuk melihat pelbagai pameran ketenteraan merangkumi Pameran Aset TD dan Pameran Kerjaya yang telah disediakan oleh pihak Tentera Darat. Persembahan TATU ATM 2023 ini telah mendapat sambutan hangat dan telah memukau lebih 50,000 orang rakyat Negeri Terengganu. Antara pertunjukan yang dipamerkan adalah demonstrasi menyelamatkan tebusan oleh 21 GGK, persembahan drumline oleh pancaragam Pusat Latihan Muzik Tentera Darat (PUZIDA), tarian perang oleh 18 RAMD (Para) dan persembahan skuadron istiadat berkuda oleh 1 KAD (Istiadat). Persembahan lain termasuk kawad senyap oleh 1 RRD (Istiadat), persembahan anjing perang oleh Cawangan Serigala Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) dan payung terjun bebas oleh 10 Bgd (Para). Persembahan yang paling mengagumkan yang mencuri tumpuan para penonton adalah persembahan akrobatik dan aksi lagak ngeri bermotosikal oleh Army Red Warriors. Persembahan ini diakhiri dengan pertunjukan bunga api yang menghiasi langit Negeri Terengganu.
Penglibatan Rejimen 512 AW kali ini di dalam Persembahan TATU ATM 2023 adalah sebagai AJK Pameran Statik TATU ATM 2023 dan diketuai oleh Lt Kol Ahmad Azahari bin Jamaluddin, Timbalan Komander Rejimen 512 AW dan penglibatan Brassband Rejimen 512 AW di dalam persembahan Pancaragam Gabungan TD melibatkan Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja (PPKAD) dan Pancaragam Wanita RSD. Selain itu, Rejimen 512 AW juga turut mewakili Askar Wataniah di dalam melaksanakan Promosi Askar Wataniah yang turut menampilkan pameran senjata, jenis-jenis hammock, pakaian dan aksesori pakaian TD serta alat muzik brassband. Booth Rejimen 512 AW mewakili Askar Wataniah juga turut menyandang tempat ketiga di dalam Pertandingan Booth Terbaik yang dianjurkan oleh Panglima 8 Bgd iaitu Brig Jen Datoβ Azudin bin Hassan.
Syabas kepada semua yang terlibat dan terima kasih rakyat Terengganu diatas sokongan dan sambutan.