Kuala Terengganu: Duli Yang Teramat Mulia Leftenan Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin dan Yang Amat Mulia Leftenan Muda Tengku Muhammad Mu’az Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin telah mencemar duli untuk hadir ke Majlis Iftar Rejimen 512 Askar Wataniah (Rej 512 AW) pada 14 Apr 23 bertempat di Rej 512 AW, Kem Padang Midin melibatkan ahli BAKAT dan seluruh warga Rej 512 AW.
Majlis ini bermula dengan keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu dan Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja diikuti dengan acara bergambar dan seterusnya bacaan Tahlil ringkas yang dipimpin oleh Guru Agama pasukan. Majlis diteruskan lagi dengan berbuka juadah ringan sebaik azan berkumandang dan solat Maghrib didirikan secara berjemaah. Seterusnya Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu dan Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja serta warga Rej 512 AW menikmati jamuan makan malam yang telah disediakan.
Majlis diteruskan dengan solat Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah. Upacara tandatangan Buku Lawatan juga turut dilaksanakan sebelum keberangkatan pulang Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu dan Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja. Majlis diteruskan lagi dengan upacara penyampaian Duit Raya kepada anak-anak dan Sumbangan Barang Keperluan kepada warga Rej 512 AW yang disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Tengku Sri Temenggong Raja, Brigedier Jeneral Dato' Seri Tengku Baharuddin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Komander Rejimen 512 Askar Wataniah diiringi oleh Leftenan Kolonel Ahmad Azahari bin Jamaluddin, Timbalan Komander Rejimen 512 Askar Wataniah.