Kuala Lumpur: Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan Tahun 2022 telah berlangsung di Dataran Merdeka. Sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 yang disambut dalam skala besar pada tahun ini disambut dengan begitu meriah di Dataran Merdeka oleh Keluarga Malaysia.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong turut bercemar duli hadir ke Dataran Merdeka pada hari ini bagi menyaksikan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-65.
Kontijen dari Angkatan Tentera Malaysia turut mempamerkan kehebatan bukan saja dari segi keanggotaannya, malah perbarisan pada hari ini turut melibatkan aset-aset tempur dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan dengan konsep baharu yang diketengahkan merangkumi elemen tempur, bantuan tempur dan bantuan khidmat. Sudah semestinya tidak ketinggalan, Kontijen Askar Wataniah turut terlibat yang melibatkan seramai 2 Pegawai dan 129 LLP.
Tonggak Kelima Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu “Peningkatan Hubungan Tentera Darat Dengan Awam” jelas diperkasakan dengan kerjasama erat pihak Tentera Darat Malaysia dengan agensi yang lain bagi memastikan perjalanan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 ini berjalan dengan lancar.