Kuala Lumpur: Panglima Briged Ke-12 Infantri Malaysia (12 Bgd), Brig Jen Sani S Omar melakukan Lawatan Ulung ke Rejimen 515 Askar Wataniah (Rej 515 AW) pada 10 Mac 2022.
Lawatan ini bertujuan merapatkan lagi hubungan pemimpin bersama warga Rej 515 AW, mengukuhkan hubungan yang sedia terjalin serta memperkasakan kesatuan dan perpaduan.Terdahulu, ketibaan Panglima 12 Bgd disambut oleh Timbalan Komander Rej 515 AW di Balai Pengawal pasukan lalu diperkenalkan kepada pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Rej 515 AW. Acara diteruskan dengan taklimat perkara G, A dan Q yang disampaikan oleh Komander Rej 515 AW sebelum mengiringi Panglima 12 Bgd melawat sekitar pejabat, stor dan fasiliti pasukan.
Dalam ucapan Panglima 12 Bgd, beliau mengingatkan warga Rej 515 AW agar sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan melalui pelaksanaan latihan di pasukan kerana aset paling bernilai adalah anggota yang berkepakaran, profesional dan terlatih. Selain itu, Panglima 12 Bgd turut melakukan Lawatan Kebajikan ke atas anggota Rej 515 AW di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Desa Tun Hussein Onn (DTHO), Kementerian Pertahanan. Pelaksanaan aktiviti ini sejajar dengan Tonggak Kedua Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Memperkasakan Keutuhan Organisasi.